Saturday 15 February 2014

AYUH, AUDIT PAKAIAN KITA!

Posted by sekrefem | 07:55 Categories:
Assalamualaikum w.b.t kepada mahasiswa/i USIM yang dikasihi dan disayangi sekalian...

 Semoga kita sama-sama sentiasa berada di bawah rahmat dan kasih sayang Allah SWT. Apa khabar hati, iman dan aqidah kita? Semoga baik dan bertambah baik. Pertama kali saya diberi peluang untuk menyentuh sedikit sebanyak berkenaan ‘Etika Pemakaian’ yang menjadi panduan kepada saya dan anda sebagai Mahasiswa/i USIM.
    

     Barangkali isu tatacara pemakaian tidak sepatutnya menjadi masalah di kalangan mahasiswa/i kerana kita sedia maklum akan peraturan dan hukumnya namun masih ada yang kurang faham/keliru dengan peraturan tersebut yang perlu dijelaskan. Etika pemakaian yang ditekankan oleh USIM lebih merupakan pelaksanaan ajaran Islam yang mana mengangkat darjat manusia berbeza dari makhluk lain seperti haiwan. Beradab, sopan dan memenuhi syara’ itulah kuncinya.

     Saya melihat trend pemakaian siswa/i USIM ketika menghadiri kuliah adalah formal di siang hari tetapi ‘berfesyen’ di malam hari dan hujung minggu. Jaga adab dan pemakaian ketika menghadiri majlis ilmu insya-Allah ilmu mudah difahami. Mungkin ramai terlupa bahawa Jeans dan baju ketat dan singkat (bagi siswi) adalah dilarang. Juga berambut panjang (siswa) dan berselipar jepun adalah dilarang. Sepatutnya kita menjadi contoh kepada pelajar dari luar negara dalam mematuhi etika berpakaian di USIM. Ayuh, audit pakaian kita!

      Satu isu lain berkenaan pemakaian kad matrik, jika tidak dipakai bawalah bersama sentiasa sebagai bukti identiti kita warga USIM. Bila ditahan ataupun didenda, mulalah merungut padahal sudah menjadi kewajipan pelajar untuk membawa atau mempamer kad matrik masing-masing. 

Akhir kalam, saya ingatkan pada diri saya dan anda untuk bukanlah hanya ‘bertutup, berstokin, bersarung’ bagai di dalam USIM, namun ‘terbuka, terketat, terlondeh’ di luar USIM. Bertindaklah dengan pertimbangan iman & akal agar selamat di dunia & akhirat.Bawalah imej Mahasiswa/i Islam walau dimana kita berada!. Sama-samalah kita perbaiki diri menjadi lebih baik! Wallahu Taala A'lam. J


p/s: Levi’s jenama Israel, betulkah? J

SAMBUTAN MAULIDUR RASUL 1435H/2014M

Posted by sekrefem | 07:17 Categories:

ASSALAMUALAIKUM WARAHMATULLAH...



Wasatiyyah Tonggak Kesatuan Ummah merupakan Tema Sambutan Maulidur Rasul Tahun 1435 Hijrah / 2014 Masihi. Hari Kebesaran Nabi junjungan Muhammad SAW. Tarikh Maulidur Rasul pada setiap 12 Rabiulawal setiap tahun, umat Islam di seluruh dunia akan mengadakan Majlis Maulidur Rasul sempena memperingati Hari Keputeraan Nabi Muhammad SAW.

Lazimnya pada setiap tahun umat Islam di seluruh dunia akan mengadakan majlis memperingati keputeraan Nabi Muhammad S.A.W dengan mengadakan beberapa acara seperti perarakan, ceramah dan sebagainya.Banyak kelebihan dan keistimewaan yang akan dikurniakan oleh Allah S.W.T kepada mereka yang dapat mengadakan atau menghadiri majlis Maulidur Rasul.

Selain itu, kita juga boleh memperaktikkan segala Sunnah Rasulullah dari setiap sudut hidup kita sama ada cara berpakaian, permakanan kita mahupun pergaulan kita.







Marilah kita sama-sama memperbanyakkan selawat ke atas nabi bukan hanya pada bulan kelahiran Baginda SAW sahaja tetapi jadikan ia amalan harian kita yang senantiasa meniti di bibir kita. Eloklah mengisi masa lapang kita dengan berselawat kepada Nabi SAW daripada mengumpat atau bersembang perkara yang melalaikan. Sesungguhnya banyak ganjaran yang Allah janjikan jika kita berselawat kepada Rasulullah SAW. 






Wassalam

SekreFEM 2013/2014



KEM BESTARI SOLAT

Posted by sekrefem | 07:17 Categories:
Assalamualaikum Warahmatullah....

Alhamdulillah, bersyukur kehadrat Ilahi kita telah berjaya menganjurkan program kemasyarakatan iaitu Kem Bestari Solat dengan peruntukkan khas dari Kerajaan Negeri Sembilan. Seramai 96 peserta yang terdiri daripada 35 orang pelajar SK Taman Semarak,  35 orang pelajar dari SK Desa Cempaka dan 26 orang dari SK Desa Jasmin telah menyertai program ini. Program ini berlangsung di Masjid Putra Nilai seawal jam 8.00 pagi dan berakhir pada jam 5.15 petang. 

   Program ini bertujuan memberi pendedahan tatacara dan kepentingan berwuduk dengan sempurna dan mendirikan solat dengan tertib. Di samping memastikan para pelajar dapat menguasai setiap bacaan wudhuk dan solat dengan betul yang menjadi salah satu rukun dalam penyempunaan ibadah.

Para peserta dari SK Taman Semarak hadir diiringi oleh seorang guru pengiring. Para pelajar dan guru pengiring disediakan sarapan pagi sementara menunggu ketibaan peserta lain. Selesai pendaftaran, para peserta berkumpul di dewan solat untuk sesi pembukaan majlis. Majlis dimulai dengan ucapan aluan dari pengarah program diikuti bacaan doa dan sesi Taaruf bersama barisan urusetia dan fasilitator program. Seterusnya, para peserta dibentuk kepada 15 kumpulan terdiri daripada 8 kumpulan pelajar perempuan dan 7 kumpulan pelajar lelaki untuk sesi ice-breaking. Setiap kumpulan diketuai oleh seorang fasilitator. Matlamat sesi ice-breaking adalah untuk memastikan setiap peserta mengenali peserta lain walaupun dari berlainan sekolah.
 
Tenaga pengajar yang juga dari kalangan ahli SekreFEM sendiri telah mengguna sepenuhnya modul yang disediakan. Slot 1 dimulakan dengan tayangan video wudhu, diikuti penerangan terperinci secara teori dan akhirnya praktikal secara individu sambil diperhatikan oleh fasilitator masing-masing. Usai Slot 1, para peserta diberi masa 15 minit untuk minum pagi sebelum memulakan Slot 2. Slot 2 merupakan amali dan praktikal solat yang diperuntukkan selama 1 jam suku. Tenaga pengajar memulakan penerangan secara teori tentang tatacara solat sebelum dipraktikkan secara berjemaah. Seorang imam telah dipilih dari kalangan peserta sendiri untuk mengetuai solat subuh berjemaah. Tenaga pengajar memilih praktikal solat subuh bagi memastikan peserta merasai perbezaan mendirikan solat subuh yang ditambahi dengan bacaan Qunut.

Setelah selesai Slot 2, para peserta diberi masa selama 15 minit untuk menyiapkan diri menunaikan solat zohor berjemaah dengan penduduk setempat. Selesai solat, para peserta dan urusetia dijamu makan tengahari. Slot seterusnya merupakan slot ujian bacaan di mana setiap fasilitator diberi kebebasan untuk menyempurnakannya mengikut kreativiti masing-masing. Terdapat fasilitator yang memberi gula-gula sebagai ganjaran kepada peserta yang lulus ujian bacaan. Matlamat Slot 3 adalah untuk memastikan para peserta menguasai semua bacaan khusus dalam wudhu dan solat seperti niat, bacaan sujud, rukuk, qunut dan sebagainya. Selesai Slot 3, para peserta dan urusetia berpeluang sekali lagi berjemaah dengan penduduk setempat. Majlis penutup dimulai dengan ucapan perasmian penutup oleh Imam Masjid Putra Nilai, seterusnya penyampaian sumbangan dan cenderahati kepada pihak masjid dan sekolah-sekolah yang terlibat.



Program ini juga mendapat sokongan yang baik dari pihak masjid dan sekolah agar diteruskan pada masa akan datang. Harapannya, agar Kem Bestari Solat dapat dilaksanakan dengan lebih baik dan menjadi salah satu sumbangan pihak SekreFEM kepada penduduk setempat. 


Terima kasih. 

SekreFEM 2013/2014

SUFEM 2.0

Posted by sekrefem | 07:14 Categories:
Assalamualaikum wbt,
pembuka bicara.....

 العقل السليم في الجسم السليم


Pepatah Arab ada menyatakan "Akal yang sihat ada pada badan yang cergas" . Islam juga menggalakkan umatnya kuat dan sihat seiring dengan potongan hadis riwayat Imam Bukhari, sabda Rasulullah SAW, " Seorang mukmin yang kuat itu lebih baik dan disayangi Allah dari seorang mukmin yang lemah". Maka kami Sekrefem mengambil inisiatif untuk meneruskan SUFEM. SUFEM 2.0 merupakan kesinambungan daripada SUFEM 1.0 yang telah dijalankan pada tahun 2011.  Sukan fakulti ini diadakan dengan tujuan untuk mencungkil bakat-bakat baru yang boleh diserapkan dalam Sukan Fakulti (SUFA) serta mengeratkan hubungan diantara pelajar serta pensyarah malah untuk meningkatkan kesedaran dan menerap budaya bersukan dalam diri setiap pelajar.Selain itu, pada SUFEM 2.0 juga telah melancarkan kelab sukan dibawah Fakulti Ekonomi dan Muamalat.

Telah berlangsung SUFEM 2.0 pada 19 Oktober 2013 yang dijalankan di Kompleks Sukan Tunku Najihah (Pavilion) bermula daripada 8.00 pagi sehingga 7.00 petang. Antara acara yang telah dipertandingkan ialah futsal, bola baling, bola tampar, bola jaring, memanah, ping pong, dan larian. Secara keseluruhan semua pihak berpuas hati dengan perlaksanaan program.

Kami ingin memohon seribu kemaafan kepada semua yang terlibat disebabkan kekurangan peralatan seperti khemah, meja dan kerusi. Selain itu, kekurangan dari segi kebajikan mahasiswa yang mana ambulans tidak tersedia untuk mengangkut pelajar yang cedera dan First Aid Kit tidak mencukupi untuk peserta yang mengalami keceraan ringan. Kami menyusun sepuluh jari di atas segala kesalahan dan kekurangan sepanjang SUFEM berlangsung sama ada secara langsung ataupun tidak.

 Akhir sekali, untuk pelaksanaan Kelab Sukan ialah mengeluarkan borang kepada mahasiswa/i, melaksanakan publisiti tentang Kelab Sukan, temuduga, pemilihan, menubuhkan organisasi dan akhir sekali merangka program.

Sehubungan dengan perkara di atas, kami akan meningkatkan lagi usaha dalam memperkasakan sukan di peringkat fakulti mahupun universiti. Akhirnya, majulah sukan untuk negara.


Wassalam..
  • RSS
  • Delicious
  • Digg
  • Facebook
  • Twitter
  • Linkedin
  • Youtube