Saturday 15 February 2014

KEM BESTARI SOLAT

Posted by sekrefem | 07:17 Categories:
Assalamualaikum Warahmatullah....

Alhamdulillah, bersyukur kehadrat Ilahi kita telah berjaya menganjurkan program kemasyarakatan iaitu Kem Bestari Solat dengan peruntukkan khas dari Kerajaan Negeri Sembilan. Seramai 96 peserta yang terdiri daripada 35 orang pelajar SK Taman Semarak,  35 orang pelajar dari SK Desa Cempaka dan 26 orang dari SK Desa Jasmin telah menyertai program ini. Program ini berlangsung di Masjid Putra Nilai seawal jam 8.00 pagi dan berakhir pada jam 5.15 petang. 

   Program ini bertujuan memberi pendedahan tatacara dan kepentingan berwuduk dengan sempurna dan mendirikan solat dengan tertib. Di samping memastikan para pelajar dapat menguasai setiap bacaan wudhuk dan solat dengan betul yang menjadi salah satu rukun dalam penyempunaan ibadah.

Para peserta dari SK Taman Semarak hadir diiringi oleh seorang guru pengiring. Para pelajar dan guru pengiring disediakan sarapan pagi sementara menunggu ketibaan peserta lain. Selesai pendaftaran, para peserta berkumpul di dewan solat untuk sesi pembukaan majlis. Majlis dimulai dengan ucapan aluan dari pengarah program diikuti bacaan doa dan sesi Taaruf bersama barisan urusetia dan fasilitator program. Seterusnya, para peserta dibentuk kepada 15 kumpulan terdiri daripada 8 kumpulan pelajar perempuan dan 7 kumpulan pelajar lelaki untuk sesi ice-breaking. Setiap kumpulan diketuai oleh seorang fasilitator. Matlamat sesi ice-breaking adalah untuk memastikan setiap peserta mengenali peserta lain walaupun dari berlainan sekolah.
 
Tenaga pengajar yang juga dari kalangan ahli SekreFEM sendiri telah mengguna sepenuhnya modul yang disediakan. Slot 1 dimulakan dengan tayangan video wudhu, diikuti penerangan terperinci secara teori dan akhirnya praktikal secara individu sambil diperhatikan oleh fasilitator masing-masing. Usai Slot 1, para peserta diberi masa 15 minit untuk minum pagi sebelum memulakan Slot 2. Slot 2 merupakan amali dan praktikal solat yang diperuntukkan selama 1 jam suku. Tenaga pengajar memulakan penerangan secara teori tentang tatacara solat sebelum dipraktikkan secara berjemaah. Seorang imam telah dipilih dari kalangan peserta sendiri untuk mengetuai solat subuh berjemaah. Tenaga pengajar memilih praktikal solat subuh bagi memastikan peserta merasai perbezaan mendirikan solat subuh yang ditambahi dengan bacaan Qunut.

Setelah selesai Slot 2, para peserta diberi masa selama 15 minit untuk menyiapkan diri menunaikan solat zohor berjemaah dengan penduduk setempat. Selesai solat, para peserta dan urusetia dijamu makan tengahari. Slot seterusnya merupakan slot ujian bacaan di mana setiap fasilitator diberi kebebasan untuk menyempurnakannya mengikut kreativiti masing-masing. Terdapat fasilitator yang memberi gula-gula sebagai ganjaran kepada peserta yang lulus ujian bacaan. Matlamat Slot 3 adalah untuk memastikan para peserta menguasai semua bacaan khusus dalam wudhu dan solat seperti niat, bacaan sujud, rukuk, qunut dan sebagainya. Selesai Slot 3, para peserta dan urusetia berpeluang sekali lagi berjemaah dengan penduduk setempat. Majlis penutup dimulai dengan ucapan perasmian penutup oleh Imam Masjid Putra Nilai, seterusnya penyampaian sumbangan dan cenderahati kepada pihak masjid dan sekolah-sekolah yang terlibat.



Program ini juga mendapat sokongan yang baik dari pihak masjid dan sekolah agar diteruskan pada masa akan datang. Harapannya, agar Kem Bestari Solat dapat dilaksanakan dengan lebih baik dan menjadi salah satu sumbangan pihak SekreFEM kepada penduduk setempat. 


Terima kasih. 

SekreFEM 2013/2014

0 comments:

Post a Comment

  • RSS
  • Delicious
  • Digg
  • Facebook
  • Twitter
  • Linkedin
  • Youtube