Saturday 28 February 2015


Bismillahirrahmanirrahim.
Saya mewakili saf pimpinan Sekretariat Mahasiswa/i Fakulti Ekonomi dan Muamalat mengucapkan selamat menghadapi peperiksaan akhir semester 1 sesi akademik 2014/2015 kepada semua mahasiswa/i Universiti Sains Islam Malaysia khususnya buat mahasiswa/i Fakulti Ekonomi dan Muamalat. 
Peperiksaan akhir yang dijadualkan bermula pada 29 Disember 2014 sehingga 15 Januari 2015 bakal menyaksikan perubahan lokasi pusat utama peperiksaan dari Stadium Tertutup Nilai ke Dewan Besar USIM. Namun, itu bukanlah isi utama ucapan ini.

Apa yang ingin saya sampaikan di sini ialah mengenai beberapa perkara yang perlu dititikberatkan semasa peperiksaan akhir iaitu :-
1. Kesihatan
Mengikut pengalaman lepas, kebiasaannya segelintir pelajar USIM pasti akan mengalami masalah kesihatan seperti batuk, selesema dan demam ketika musim peperiksaan. Untuk kali ini, saya berpesan agar anda semua tidak mengabaikan kesihatan diri walaupun sibuk mengulangkaji pelajaran. Pastikan badan anda mendapat rehat yang secukupnya kerana sesungguhnya akal yang cerdas datang dari badan yang cergas.
2. Keselamatan
Aspek keselamatan juga perlu diambil perhatian memandangkan kebelakangan ini banyak kes pecah rumah melibatkan pelajar USIM. Sila pastikan pintu rumah dan bilik dikunci sebelum tidur atau sebelum keluar ke mana sahaja hatta ke masjid/surau sekalipun. Anda digalakkan untuk tidak pulang lewat malam terutama bagi mahasiswi. Dan jangan lupa jaga keselamatan diri dengan memandu/menunggang kenderaan secara berhati-hati di jalanraya. Biar lambat, asal selamat.
3. Ihtimam dengan ilmu
Saya juga ingin mengingatkan agar semua mahasiswa/i ihtimam dengan ilmu yang dipelajari. Saya amat kesal dengan sikap segelintir daripada kita yang membiarkan/meninggalkan nota dan buku di tepi dewan peperiksaan setelah selesai menjawab sesuatu peperiksaan. Ingat, ilmu yang kita pelajari bukan hanya untuk dimuntahkan di atas kertas semata tetapi ianya untuk diamalkan dan kegunaan sepanjang zaman.

Dalam kesempatan ini, saya serta seluruh jawatankuasa SekreFEM merakamkan rasa simpati dan takziah kepada semua mangsa banjir yang melanda beberapa negeri di Semenanjung Malaysia. Kami sentiasa mendoakan kesejahteraan anda. Akhirul kalam, tiada kejayaan yang lebih indah melainkan kejayaan bersama. Semoga terus cemerlang untuk ummah.

MUHAMMAD NOR AMAN BIN JAMALUDDIN
PRESIDEN SekreFEM SESI 2014/2015


0 comments:

Post a Comment

  • RSS
  • Delicious
  • Digg
  • Facebook
  • Twitter
  • Linkedin
  • Youtube